Pertama kalinya ingin saya memanjat kesyukuran kepada Tuhan pencipta alam atas limpah dan kurnianya dapat saya menyiapkan tugasan saya ini dengan jayanya.
Ucapan terima kasih kepada tutor En.Mohamad .B. Junoh atas segala tunjuk ajar dan bimbingannya sepanjang saya menyiapkan tugasan ini.Tidak lupa ucapan terima kasih kepada suami tercinta yang banyak membantu dalam menyiapkan tugasan ini khususnya dalam membina blog dan menggunakannya. Juga terima kasih kepada rakan-rakan seperjuangan yang telah membantu dan memberikan pendapat bagi menyiapkan tugasan ini.Sesungguhnya saya telah berusaha sedaya upaya dan inilah hasilnya. Saya berharap agar tugasan saya ini memenuhi kriteria pemarkahan yang telah ditetap.
Sekian, terima kasih....
Total Pageviews
Monday, November 22, 2010
Aktiviti Pembelajaran
Aktiviti Pembelajaran Untuk murid lemah menggunakan ABM yang telah dibuat.
Hasil Pembelajaran : Menyukat isipadu cecair menggunakan unit-unit bukan piawai.
Alat dan Bahan:Air,bekas aiskrim,jag air,botol minuman,mangkuk,cawan kertas milo,borang kumpulan dan kertas majong.
Langkah-langkah :
1) Murid dibahagikan kepada 4 kumpulan. Setiap kumpulan mempunyai lima orang ahli.
2) Murid diminta memilih seorang ketua kumpulan merangkap pencatat.
3) Guru memberikan setiap kumpulan sebuah bekas yang berisi air berwarna dan beberapa cawan kertas milo.
4) Guru memberikan penerangan kepada murid sebelum memulakan aktiviti.
5) Murid akan memulakan aktiviti dengan menganggar kapasiti cawan kertas milo bagi bekas yang berisi air.
6) Ketua kumpulan merangkap pencatat akan mencatat bilangan anggaran kapasiti cawan kertas milo ke dalam borang yang telah diberikan.
7) Selepas itu,pertandingan dimulakan dengan setiap ahli kumpulan akan menuang air dalam bekas ke dalam cawan kertas milo secara bergilir-gilir sehingga air di dalam bekas itu habis dituang ke dalam cawan kertas. Pencatat akan merekod ukuran atau bilangan cawan kertas yang sebenar di dalam borang yang telah diberikan kepada pencatat.
8) Murid berbincang bersama ahli kumpulan untuk merekod penemuan mereka dalam penyataan di bawah jadual yang telah disediakan.
Contoh : Isipadu air di dalam bekas aiskrim adalah sama dengan kapasiti............ cawan kertas milo.
9) Pencatat merekod kesemua maklumat yang diperolehi ke dalam jadual di atas kertas majong yang telah ditampal di dinding agar semua murid dapat melihat hasilnya.
10) Murid diminta untuk berbincang mengenai kesemua bekas tersebut ( botol minuman,jag air,bekas aiskrim dan mangkuk ),yang mana satu mempunyai kapasiti paling kecil dan paling besar.
Penglibatan murid sepanjang aktiviti berlangsung :
ABM yang digunakan oleh murid. Setiap kumpulan diberikan sebuah bekas yang berisi air yang berwarna serta beberapa cawan kertas milo. | Murid berbincang dalam kumpulan masing-masing untuk membuat anggaran kapasiti cawan kertas berdasarkan air di dalam bekas. Pencatat merekod ke dalam borang yang diberikan. |
3) | Ahli kumpulan yang sedang menunggu giliran untuk menuang air ke dalam cawan kertas milo. |
Setelah selesai,pencatat akan mengisi jadual di atas kertas majong yang ditampal di hadapan untuk dilihat oleh semua murid. |
Aktiviti Pembelajaran Untuk murid cemerlang menggunakan ABM yang telah dibuat.
Hasil Pembelajaran : Menyukat isipadu cecair menggunakan pengukuran piawai.
Alat dan Bahan :Air bewarna,bekas aiskrim,jag air,besen,borang kumpulan dan kertas majong.
Langkah-langkah :
1) Murid dibahagikan kepada 4 kumpulan. Setiap kumpulan mempunyai lima orang ahli.
2) Murid diminta memilih seorang ketua kumpulan merangkap pencatat.
3) Guru memberikan setiap kumpulan sebuah bekas yang berisi air berwarna dan beberapa silinder penyukat.
4) Guru memberikan borang untuk dilengkapkan kepada setiap kumpulan.
5) Guru memberikan penerangan kepada murid sebelum memulakan aktiviti.
6) Murid akan memulakan aktiviti dengan menganggar isipadu cecair dalam unit liter bagi bekas yang berisi air.
7) Ketua kumpulan merangkap pencatat akan mencatat anggaran ukuran dalam liter ke dalam borang yang telah diberikan.
8) Selepas itu,pertandingan dimulakan dengan setiap ahli kumpulan akan menuang air dalam silinder penyukat secara bergilir-gilir sehingga air di dalam bekas itu habis dituang ke dalam silinder penyukat. Pencatat akan merekod isipadu cecair (dalam liter) yang sebenar di dalam borang yang telah diberikan kepada pencatat.
9) Murid berbincang bersama ahli kumpulan untuk merekod penemuan mereka dalam penyataan di bawah jadual yang telah disediakan.
Contoh : Isipadu air di dalam bekas aiskrim adalah ........... liter.
10) Pencatat merekod kesemua maklumat yang diperolehi ke dalam jadual di atas kertas majong yang telah ditampal di dinding agar semua murid dapat melihat hasilnya.
11) Murid diminta untuk berbincang mengenai kesemua bekas tersebut ( jag air,bekas aiskrim dan besen ),yang mana satu mempunyai isipadu yang paling banyak dan paling sedikit.
12) Guru membimbing murid memahami unit matrik bagi isipadu cecair dan menunjukkan mereka bahawa 1 liter bersamaan dengan 1000 mililiter.
Penglibatan murid sepanjang aktiviti berlangsung :
Alat Bantu Mengajar (ABM)
Alat Bantu Mengajar (ABM) untuk murid lemah.
Terdapat beberapa kemahiran yang terkandung dan perlu dipelajari oleh murid dalam sukatan Tahun 2 bagi tajuk isipadu cecair. Untuk murid lemah ini saya telah mengambil salah satu daripada kemahiran tersebut iaitu menyukat isipadu cecair menggunakan unit bukan piawai. Berikut adalah penerangan mengenai ABM yang saya gunakan untuk kemahiran tersebut :
Rajah 1 : Alat dan bahan yang digunakan oleh murid untuk kemahiran menyukat air menggunakan unit bukan piawai.
Rajah 2 : Borang yang diberikan kepada setiap kumpulan untuk mencatat hasil penemuan.
Rajah 2 : Borang yang diberikan kepada setiap kumpulan untuk mencatat hasil penemuan.
Rajah 3 : Jadual yang perlu diisi oleh wakil kumpulan setelah mendapat hasil daripada aktiviti yang dijalankan.
Boleh dibuat dan dilaksanakan
ABM ini akan digunakan oleh murid-murid secara berkumpulan. Saya menggunakan beberapa bekas sedia ada untuk mengisi air seperti botol minuman,bekas aiskrim,jag air,mangkuk dan juga cawan kertas (milo) sebagai penyukat unit bukan piawai. Air tersebut diwarnakan berlainan antara setiap kumpulan. Tujuannya adalah murid mudah melihat sukatan air tersebut. Sekiranya air tersebut tidak diwarnakan,murid sukar untuk melihat paras air di dalam bekas atau di dalam cawan kertas milo. Selain itu, saya telah menyediakan satu borang yang perlu diisi oleh setiap wakil kumpulan. Setelah itu,wakil setiap kumpulan akan mengisi pula jadual yang telah ditampal dihadapan dalam kertas majong agar semua murid dapat melihat dan membuat penilaian terhadap hasil yang telah mereka perolehi oleh setiap kumpulan selepas menjalankan aktiviti. ABM tersebut mudah untuk dibuat oleh guru dan boleh dikendalikan atau dilaksanakan oleh murid yang lemah. Setiap kumpulan akan mendapat satu daripada bekas-bekas tersebut beserta beberapa cawan kertas milo. Murid akan membuat anggaran terlebih dahulu kuantiti cawan kertas milo yang bersamaan dengan kapasiti air dalam bekas yang diberi. Kemudian,mereka akan menyukat air tersebut untuk mendapatkan ukuran yang sebenarnya bersama ahli kumpulan masing-masing secara koloboratif.
Perkara yang berkaitan dalam kehidupan seharian
ABM yang digunakan juga mempunyai perkaitan dalam menjalankan aktiviti seharian. Contohnya untuk memasak. Sekiranya sukatan air yang digunakan untuk memasak sesuatu adalah satu jag air. Apabila jag air tiada, ianya boleh digantikan dengan beberapa cawan air yang mempunyai kapasiti yang sama dengan satu jag air. Itu adalah salah satu ilmu atau kemahiran yang boleh di manfaat dalam menjalani kehidupan seharian. Selain itu,banyak lagi perkara atau aktiviti yang boleh membantu murid dalam menjalani aktiviti seharian melalui kemahiran yang telah dipelajari.
Sesuai kepada semua peringkat murid
Alat Bantu Mengajar di atas juga sesuai untuk semua peringkat murid. Samada untuk murid lemah,sederhana dan cemerlang. Untuk murid lemah,ianya mudah untuk memberikan kefahaman kepada mereka mengenai kapasiti sesuatu bekas. Ini adalah kerana mereka akan lebih mudah memahaminnya apabila mereka melakukan aktiviti itu sendiri selain ianya menyeronokkan. Untuk murid sederhana dan cemerlang pula,aktiviti ini mungkin dianggap mudah oleh mereka. Namun,aktiviti ini boleh mengukuhkan lagi kefahaman mereka berkaitan dengan kemahiran tersebut.
Kos yang berpatutan
Kesemua alat dan bahan (seperti gambar di atas) yang saya sediakan sebagai Alat Bantu Mengajar (ABM) kepada murid tersebut tidak memerlukan kos yang tinggi. Contohnya seperti bekas-bekas tersebut adalah bekas sedia ada yang saya gunakan dalam seharian dan juga dari bekas terpakai seperti botol minuman dan bekas aiskrim. Manakala cawan kertas milo pula adalah bahan yang saya gunakan semula selepas murid menggunakannya untuk minum air milo yang ditaja oleh syarikat milo yang datang ke sekolah saya. Bagi kertas majong,ianya telah disediakan oleh pihak sekolah untuk digunakan oleh guru menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran.
Alat Bantu Mengajar (ABM) untuk murid cemerlang
Bagi murid cemerlang ini,saya telah mengambil kemahiran menyukat isipadu cecair menggunakan pengukuran piawai iaitu liter. Berikut adalah penerangan mengenai ABM yang saya gunakan untuk kemahiran tersebut :
Rajah 4 : Alat dan bahan yang digunakan oleh murid untuk kemahiran menyukat isipadu cecair menggunakan pengukuran piawai (liter).
Rajah 5 : Borang yang diberikan kepada setiap kumpulan untuk merekod hasil penemuan mereka.
Rajah 5 : Borang yang diberikan kepada setiap kumpulan untuk merekod hasil penemuan mereka.
Rajah 6 : Jadual yang disediakan di atas kertas majong yang diisi oleh wakil kumpulan selepas menjalani aktiviti.
Boleh dibuat dan dilaksanakan
Gambar di atas adalah ABM yang saya buat untuk digunakan oleh murid cemerlang bagi memperlajari kemahiran menyukat isipadu cecair dengan menggunakan unit piawai (liter). Antara alat dan bahan yang saya sediakan ialah air yang berwarna agar murid mudah untuk melihat paras air. Selain itu beberapa bekas untuk mengisi air tersebut seperti besen,bekas aiskrim,jag air dan beberapa silinder penyukat untuk menyukat isipadu cecair di dalam bekas. Murid akan menjalankan aktiviti ini secara berkumpulan. Setiap kumpulan akan diberikan sebuah bekas yang berisi air beserta beberapa silinder penyukat. Mereka akan berbincang terlebih dahulu mengenai anggaran isipadu cecair dalam bekas tersebut dalam unit Liter dan direkod dalam borang yang telah disediakan. Kemudian, mereka akan bekerjasama dengan ahli kumpulan masing-masing untuk mendapatkan ukuran sebenar dalam liter . Setelah mereka selesai melakukan aktiviti, mereka akan berbincang untuk merekod hasil penemuan mereka ke dalam borang yang diberikan kepada setiap kumpulan. Akhir sekali,wakil kumpulan akan melengkapkan jadual dalam kertas majong yang ditampal di hadapan untuk dilihat oleh semua murid.
Perkara yang berkaitan dalam kehidupan seharian
Kemahiran menyukat isipadu cecair menggunakan unit piawai (liter) mempunyai hubungan yang amat rapat dan sinonim dalam kehidupan seharian. Banyak perkara yang memerlukan kita untuk menggunakan unit liter dalam kehidupan. Contohnya mengisi minyak kereta, sukatan air dalam masakan,penggunaan air untuk mencuci pakaian dan berbagai lagi. Oleh yang demikian,tajuk isipadu cecair diperkenalkan kepada murid dan perlu dikuasai oleh semua murid kerana ianya akan dipraktikan dalam kehidupan seharian.
Sesuai kepada semua peringkat pelajar
ABM ini juga sesuai untuk semua peringkat murid. Untuk peringkat murid yang lemah,ianya boleh diubahsuai sedikit dengan menggunakan isipadu cecair yang sedikit dahulu. Contohnya dengan menggunakan bekas minuman atau kordial yang mempunyai isipadu 1 liter. Apabila murid tersebut telah menguasainya,bolehlah dipraktikkan kepada isipadu yang lebih banyak lagi. Selain itu untuk murid cemerlang juga boleh diperkenalkan dengan perkaitan antara 1 liter bersamaan dengan 1000 mililiter apabila mereka dapat menyukat cecair ke dalam silinder penyukat dengan betul.
Kos yang berpatutan
Bagi ABM untuk murid cemerlang ini,saya hanya menggunakan bahan yang sedia ada dan tidak menggunakan kos yang tinggi dan mahal. Contohnya seperti bekas-bekas yang digunakan untuk mengisi air adalah dari bekas yang digunakan dalam sehari-harian. Silinder penyukat, kertas A4 dan kertas majong pula adalah dari alatan yang disediakan oleh pihak sekolah untuk guru dan murid menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan.
Kesimpulan
Kedua-dua ABM tersebut adalah sesuai kepada semua peringkat murid Tahun 2. Cuma ianya perlu diubahsuai mengikut tahap pencapaian dan pemikiran pelajar. Contohnya ABM untuk murid lemah boleh digunakan oleh murid yang sederhana dan cemerlang untuk mengukuhkan lagi pemahaman mereka berkaitan dengan kemahiran tersebut dengan menggunakan isipadu yang lebih banyak atau kuantiti bekas yang lebih lagi dan saiz yang berbeza. Bagi ABM untuk murid cemerlang pula boleh digunakan kepada murid yang sederhana dan lemah dengan mengurangkan isipadu cecair tersebut atau menggunakan bekas yang bersaiz liter paling minimum agar mudah untuk difahami oleh peringkat pemikiran mereka. Selain itu,murid juga mudah untuk melakukan aktiviti dengan menggunakan ABM tersebut. Guru-guru juga tidak perlu memikirkan tentang kos membuat ABM tersebut kerana ianya tidak memerlukan kos malahan hanya menggunakan alat dan bahan yang digunakan dalam seharian serta alat dan bahan yang telah disediakan oleh pihak sekolah sahaja.
Video isipadu cecair
Video tentang proses menyukat isipadu cecair :
Video di atas menerangkan tentang bagaimana untuk menyukat isipadu cecair dengan menggunakan unit piawai. Silinder penyukat digunakan untuk menyukat cecair di dalam bekas. Sebelum memulakan aktiviti menyukat cecair, keadaan tempat silinder penyukat itu diletakkan perlulah berada dalam keadaan permukaan yang rata. Ini akan memberikan ketepatan pada sukatan isipadu cecair tersebut.
Apabila silinder telah dipastikan berada pada permukaan yang rata, air di dalam bekas akan dituangkan ke dalam silinder penyukat untuk mendapatkan ukuran piawai isipadu cecair yang tepat. Air yang diisi dalam silinder adalah berbentuk melengkung (miniscus level). Untuk mengambil bacaan ukuran piawai yang betul,ukuran dibaca pada lengkungan paling bawah (meniscus level) yang selari dengan nilai senggatan silinder penyukat.
Pengenalan isipadu cecair
Dalam kehidupan seharian,kita tidak lari dari penggunaan air. Air merupakan salah satu keperluan manusia dalam menjalani kehidupan seharian. Pelbagai kegunaan air dalam kehidupan manusia menyebabkan ianya sesuatu yang penting dan menjadi sumber asas kepada aktiviti-aktiviti lain. Ianya tidak tertumpu kepada penggunaan di rumah sahaja malahan ianya amat berguna dalam industri pertanian dan sebagainya.
Oleh itu, sebarang jenis cecair boleh disukat dengan isipadunya. Kerana ianya sesuatu yang penting dan banyak aplikasi praktikal dalam situasi kehidupan sebenar,maka dengan itu tajuk isipadu cecair diperkenalkan dalam mata pelajaran Matematik seawal di peringkat pendidikan.
Dalam sukatan pelajaran Matematik Tahun 2, beberapa kemahiran asas yang perlu diperkenalkan dan dipelajari oleh murid-murid. Antaranya ialah mengenalpasti sifat bagi isipadu cecair, meneroka kapasiti cecair dalam sesuatu bekas, menyukat isipadi cecair menggunakan unit bukan paiwai dan menyukat isipadu cecair dengan menggunakan unit piawai. Kemahiran unit piawai yang dipelajari oleh murid tahun 2 ialah Liter. Disamping itu murid-murid juga diperkenalkan dengan unit metric bagi isipadu cecair dan liter ialah bersamaan dengan 1000 mililiter.
Topik ini banyak menggunakan pengalaman sedia ada murid-murid dalam penggunaan cecair seperti air dalam kehidupan seharian mereka. Semoga dengan mempelajari tajuk ini murid-murid akan dapat mempraktikan dan lebih memahami lagi tentang ukuran isipadu cecair dalam kehidupan seharian.
Subscribe to:
Posts (Atom)